Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Bahawa tidak
akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air
susu kembali ke tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar
menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan
sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk
dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya
berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda,
sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t., maka Allah s.w.t.
mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat
takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah s.w.t. mengampuni hamba itu dan
menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah
menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan,
telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut." Dalam sebuah kitab
lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan
didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang
sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan
menghadapinya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada
hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat
diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi
menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka
mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam
kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500
tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi
dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali
hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad
s.a.w. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung,
umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai
api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah,
demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya
engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak
mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu
menuju kepada umat Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air
dan Rasulullah s.a.w. meraihnya. Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah,
ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil
dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah
s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air
itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan
umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku
diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api
itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah
anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu,
sebelum tidak ditemunya air mata."