Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu
Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam
lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.Malam Nisfu
Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul
qadr. Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama
setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan
pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk
waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk
maghrib).
Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw
tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg
diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: Rasulullah SAW telah bangun pada malam
(Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir
beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki
Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW
berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan
diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung
kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu
memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda
berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban.
Sesungguhnya Allah SWT telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban
dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas
mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap
orang-orang yg dengki.”
Bulan Syaaban adalah waktu yang sesuai bermuhasabah
diri bagi melihat kekurangan, kesalahan dan kelemahan kita supaya dapat
diperbaiki. Begitu juga dosa-dosa yang telah dilakukan, sudah sepatutnya kita
memohon keampunan daripada Allah SWT. Bulan Syaaban juga waktu yang tepat bagi
menyambung silaturrahim dan memohon kemaafan saudara dan kawan-kawan.
Umar bin Khatab, dalam khutbahnya menyatakan,
“Hitunglah (bermuhasabah dirinya) kamu semua semua sebelum kamu dihisab (oleh
Allah).”(Jami ‘ul Hadis Sunan Tirmizi, Mushannaf Abi Syaibah).
Bulan Syaaban juga sangat baik dijadikan sebagai
persediaan, sehingga apabila masuk bulan suci Ramadan, kita sudah bersedia dan
terbiasa dalam meraih dan mendapat hidangan serta kemurahan Allah pada bulan
Ramadan nanti.
Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban
adalah memperbanyakkan puasa sunat, bertaubat dan beristighfar kerana sebagai
manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa.
Bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.
Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita
menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia
meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta
berjanji untuk tidak akan mengulanginya.
Jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain,
hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan, memperbanyak zikir dan berdoa.
Zikir ialah ucapan dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati
membesar serta mengagungkan Allah.
Ini bersesuaian dengan janji Allah bahawa orang yang
beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah kerana berzikir (mengingati
Allah) itu mententeramkan hati manusia.
Selain itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh
dilaksanakan pada bulan Syaaban sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan
seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,
bersembahyang sunat terutama pada waktu malam dan bersedekah.
Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada pada
bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.