Hidup berkat akan sentiasa
mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan kita memperoleh
keberkatan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita perlu sentiasa
berusaha untuk meraih keberkatan hidup di sisi Allah SWT dan berdoa supaya
kehidupan kita sentiasa diberkati oleh-Nya.
Berkat, berkah atau barakah adalah
ayat yang sering meniti di bibir kerana barakah berasal daripada bahasa
Arab yang bermaksud tumbuh, berkembang dan kemudian bercabang antara satu
sama lain saling berdekatan.
Secara terminologi, berkat adalah
kebaikan yang bersumber daripada Allah SWT yang ditetapkan terhadap
sesuatu sebagaimana semestinya. Persoalannya, sudahkah kita merasai keberkatan
berkenaan atau sama seperti mereka yang tidak sempat beramal dan mengingati
Allah kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia.
Walhal gemerlap dunia
ini ibarat meminum air laut, semakin banyak
diminum semakin menambah rasa haus dan tidak akan pernah merasa
cukup terhadap apa yang sudah dimilikinya. Orang yang tidak
pernah puas dan bersyukur tidak akan pernah bahagia.
Hidupnya menjadi tidak
berkat di sisi Allah SWT dan menderita. Namun orang yang merasa cukup dengan
apa yang dimilikinya, Allah SWT akan memberikan kurnia-Nya yang melimpah.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barang
siapa yang memasrahkan keperluannya kepada Allah, nescaya Dia akan mendatangkan
kepadanya rezeki dengan segera atau menunda kematiannya.” (Hadis riwayat
Ahmad).
Menurut Ath-Thabathaba’i, kebaikan
bersumber daripada Allah SWT muncul tanpa diduga dan tidak terhitung sepanjang
kehidupan, baik yang bersifat kebendaan mahupun berbentuk kerohanian. Mulianya
hidup apabila kehidupan sentiasa diberkati Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya
Allah SWT yang Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap
hamba-Nya dengan rezeki yang Dia berikan kepadanya. Barang siapa
yang reda dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati
dan melapangkan rezeki untuknya dan barang siapa yang tidak reda
nescaya rezekinya tidak diberkati.” (Hadis riwayat Ahmad).
Justeru untuk meraih keberkatan dalam
kehidupan, ada dua tuntutan syarat yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang
Islam.
Firman Allah SWT:
“Jika
penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada
mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan
(ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”
(Surah Al-A'raf, ayat 96).
Ayat ini menunjukkan balasan Allah
SWT bagi hamba-Nya yang beriman dan sekali gus menjadi penjelasan bahawa orang
yang kufur kepada Allah tidak akan pernah merasakan keberkatan, tenang dan
bahagia dalam hidupnya.
Justeru bagi membina
iman, kita perlu membersihkan hati daripada
sebarang dosa dan noda. Bersihkan hati daripada karat jahiliah yang akan
menghalang hadirnya hidayah, petunjuk dan pertolongan Allah SWT. Hati yang
bersih akan menumbuhkan keimanan sebenar terhadap Allah SWT.
Kedua, amal salih iaitu menjalankan
perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat diajarkan Rasulullah
SAW.
Firman Allah SWT:
“Demi
malam apabila menutupi dan siang apabila terang benderang
dan penciptaan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang
berbeza-beza. Adapun orang yang memberikan (harta di jalan Allah) dan
bertakwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka
Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Surah
Al-Lail, ayat 1-7).
Sheikh Abdur Rahman as-Sa'di
berkata, jika mereka melaksanakan perintah Allah SWT serta menjauhi
larangan-Nya, nescaya Allah SWT akan melimpahkan rezeki kepada mereka,
langit dijadikan menurunkan hujan, bumi
pula untuk menumbuhkan tanaman.
Semoga kita meraih
keberkatan di sepanjang kehidupan. Tidak ada cara terbaik
untuk kita beroleh keberkatan melainkan sentiasa merujuk kepada panduan
terlengkap yang Allah SWT bekalkan iaitu melalui al-Quran.
Firman Allah SWT:
“Dan
al-Quran ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkat
yang telah kami turunkan. Maka mengapakah kamu
mengingkarinya?” (Surah Al-Anbiyaa', ayat 50).
Kini kunci untuk meraih
keberkatan dalam kehidupan sudah terbongkar. Al-Quran memandu kita
supaya berbekal dengan iman, takwa dan amal salih untuk meraih keberkatan
selagi kita masih bernyawa di bumi Allah SWT ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud
:
“Sesiapa
beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya
Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami
akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari
apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97)