Ihya’ Ramadhan


PENGENALAN

Program Ihya’ Ramadhan merupakan suatu program mega tahunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam sepanjang bulan Ramadhan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang dikenali sebagai Qaryah Ramadhan Di Serambi Mekah. Program ini adalah suatu program yang sangat unik di mana satu khemah besar yang berhawa dingin bersaiz 8,800 kaki persegi bagi menampung kira-kira 2,500 jemaah dan akan diimamkan oleh imam jemputan iaitu Syeikh Hesham Abd Bary Mohamed dan Syeikh Ahmad Ramadhan Ayoub Musa dari Mesir .

Program ini telah mendapat sambutan di kalangan warga Kota Bharu dan pengunjung luar Kelantan, yang turut menjayakan aktiviti di Qaryah Ramadhan seperti Iftor Jama’i, Solat Terawih, Ceramah Badar Kubra, Nuzul Al-Quran, Interaktif Al-Quran, Qiamullail, Relay Qiraatul Quran, Sepetang Di Ambang Iftor, Sumbangan kepada Anak Yatim, Orang Miskin, Armalah dan Saudara Baru, Khatam 30 Juzuk Al-Quran, Malam 1000 Yaasin, Menjejaki Lailatul Qadar, Solat Sunat Tasbih Malam Aidil Fitri, Solat Sunat Aidil Fitri dan lain-lain lagi.

Beberapa program baru telah ditambah untuk memeriahkan lagi sambutan Ihya Ramadhan 1432H seperti menyediakan Kelas Pengijazahan Al-Quran (Qiraat 14), Bengkel Asas Tajwid, Halaqatul Quran, Program Sehari Celik IT dan Score A serta Himpunan Remaja Ramadhan bagi menjayakan program Jejak Kasih Di Ambang Iftor, Auto Show Di Ambang Iftor dan Malam 1000 Al-Kahfi.

Bengkel Asas Tajwid pula bertujuan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai pada 4, 11 dan 18 Ramadhan, manakala Halaqatul Quran pula berlangsung pada 7, 8 dan 13 Ramadhan. Pada 20 Ramadhan, Program Sehari Celik IT dan Score A yang dianjurkan bersama Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan bertujuan untuk mencapai kecemerlangan pelajar sekolah.

Himpunan Remaja Ramadhan merupakan program khusus untuk menghimpunkan anak-anak muda Kelantan bermula jam 3.00 petang untuk bersama-sama menyertai program Jejak Kasih Di Ambang Iftor dan Malam 1000 Al-Kahfi (5 Ramadhan) dan Auto Show Di Ambang Iftor dan Bicara Anak Muda (12 Ramadhan) dan Sepetang Anak Muda di Ambang Iftor bersama Ustaz Azhar bin Edrus serta Menjejaki Lailatul Qadar dan zikir munajat bersama Ustaz Badrol Amin (26 Ramadhan).

Pada 29 Ramadhan, akan diadakan Solat Sunat Tasbih Malam Aidil Fitri dan pada pagi 1 Syawal pula, Solat Sunat Aidil Fitri dan Jamuan Hari Raya yang merupakan program penutup Di Qaryah Ramadhan.

Program Ihya’ Ramadhan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam akan diadakan bermula 1 Ogos 2011 hingga 30 Ogos 2011 bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.


Antara aktiviti utama yang akan diadakan adalah:-
  • Solat terawih berjemaah
  • Berbuka puasa dan bersahur
  • Penyampaian sumbangan fakir miskin
  • Tazkirah dan bicara keilmuan
  • Relay bacaan Al-Quran, majlis khatam Al-Quran, munajat dan bacaan Yasin
  • Sepetang di ambang iftar
  • Mubarak cafe dan bazar Al-Rahman


BERBUKA PUASA (IFTAR) DAN BERSAHUR
Program iftar dan bersahur diadakan setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Berdasarkan pengalaman Majlis pada tahun-tahun sebelum ini, sambutan orang-ramai terhadap program ini amat menggalakkan di mana ia dihadiri tidak kurang daripada 500 orang bagi iftar dan 100 orang bagi bersahur setiap hari.

Bagi tahun 2010, Majlis menganggarkan keperluan perbelanjaan bagi mengadakan program ini adalah sebanyak RM300,000.00. Jumlah ini dijangka mampu menampung kedatangan orang-ramai yang dilihat semakin selesa untuk berbuka puasa di perkhemahan terawih yang didirikan oleh Majlis.

KHEMAH TERAWIH
Program solat terawih yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini dihadiri di antara 2,000 hingga 3,000 orang setiap malam. Bahkan pada malam-malam tertentu, kehadiran mereka dianggarkan mencecah sehingga 5,000 orang.

Bagi menampung keperluan tersebut, sejak tahun 2008, Majlis telah menyediakan marquee tent yang mempunyai keluasan 5,600 kaki persegi serta tambahan khemah-khemah arabian dan piramid. Anggaran kos perbelanjaan bagi penyediaan khemah terawih ini keseluruhannya adalah sebanyak RM200,000.00.

IMAN TERAWIH
Sejak tahun 2007 lagi, Majlis telah menjemput Imam-imam dari Mesir bagi mengimamkan solat terawih dan sambutan yang diberikan oleh masyarakat amat memberangsangkan. Langkah ini merupakan faktor utama Program Ihya’ Ramadhan yang dianjurkan oleh Majlis ini mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.
Bagi menampung perbelanjaan Imam ini, adalah dianggarkan ia melibatkan sebanyak RM50,000.00 yang meliputi perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan perbelanjaan harian beliau di sini.

PENGAGIHAN SUMBANGAN KEPADA FAKIR MISKIN
Salah satu program terbesar sepanjang bulan Ramadhan yang dianjurkan Majlis adalah pengagihan sumbangan dan bantuan kepada pelbagai golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin, orang kurang upaya dan sebagainya. Majlis menganjurkan program ini setiap tahun kerana Majlis merasakan nasib mereka perlu dibela demi kemakmuran bandar ini.

Keseluruhan peserta dari golongan ini mencecah sehingga 1,500 orang dan mereka dipilih dari seluruh kawasan pentadbiran Majlis.
Bagi tahun 2010 ini, Majlis mensasarkan sejumlah RM150,000.00 dalam bentuk tunai diperlukan disamping tambahan barangan lain seperti barangan keperluan harian, pakaian, kelengkapan ibadah, persiapan hari raya dan sebagainya