Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis laknatullah itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.
Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah s.w.t.
telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah
Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya.
Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."
Lalu Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku
kehendaki." Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh
keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong.
Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu.
Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis
laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat
bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap
angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang
sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa
menyesal atas keengganannya.
Kemudian Allah s.w.t. merubahkan mukanya pada
asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah
s.w.t. membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang
menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti
wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang
hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir
lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak
tujuh helai.
Setelah itu, lalu Allah s.w.t. mengusirnya dari
syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan
masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah s.w.t. melaknatinya
sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis laknatullah
itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat,
banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya,
dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu
tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.
Ketika Allah s.w.t. membalas tipu daya iblis
laknatullah, maka menangislah Jibril a.s.dan Mikail. Lalu Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu
mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."
Firman Allah s.w.t. bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua
tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun
berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan
Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."
Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,
"Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi
adalah maksum." Berkata lagi iblis laknatullah, "Tambahkanlah lagi
untukku." Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Tidak akan
dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua
padanya." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi
untukku." Lalu Allah s.w.t. berfirman dengan maksud, "Dada-dada
mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran
darah." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi
untukku." Maka Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud, "Dan
kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki,
ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang
naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada
harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam
haram."
"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan
mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti
melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai
anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan
cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan
perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada
disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang
yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada
mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka
pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan
iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."