Konsep Rekacipta Islam

Kesatuan
Pertama sekali konsep kesatuan di dalam ilmu Tawhid itu boleh digunakan sebagai panduan sebarang sintesis reka bentuk artifak kejuruteraan seperti yang digunakan oleh Mi’mar Sinan ketika menghasilkan kesatuan ruang di dalam masjid. Kesatuan juga boleh bermaksud kesepaduan atau kelengkapan iaitu reka bentuk itu haruslah bersifat sepadu dan lengkap. Kesepaduan juga diperolehi melalui konfigurasi yang saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

Peniruan Makhluk
Berbagai-bagai makhluk yang dicipta Tuhan juga boleh menjadi panduan kepada reka cipta mengikut Islam berasaskan alasan bahawa Allah adalah Pencipta (Al-Khaliq) par excellence. Konfigurasi makhluk merupakan yang paling baik dan paling praktikal dan rupa bentuk makhluk juga adalah yang paling indah dan yang tidak ada tolok bandingnya dlam reka cipta manusia. Mi’mar Sinan telah meniru struktur buih-buih yang saling sokong menyokong di antara satu sama lain dalam merekacipta kubah utama Masjid yang disokong oleh empat separuh kubah. Banu Musa dan Al-Jazari mereka cipta mesin yang indah dan anggun seperti makhluk. Kadar Tuhan seperti kadar unggul, keratan emas, kadar harmoni musik, kadar antara anggota tubuh dan simetri tubuh makhluk yang telah dicipta Allah di dalam makhluk itu juga boleh digunakan bagi mengatur konfigurasi yang lebih kuat dan rupa bentuk reka cipta yang lebih indah.

Kesetaraan mikrokosmos dan makrokosmos
Konsep kesetaraan mikrokosmos dan makrokosmos yang dibawa oleh ahli al-kimia Islam seperti Jabbir bin Hayyan itu boleh digunakan di dalam reka cipta. Reka bentuk sebarang artifak itu digambarkan mempunyai beberapa tahap hirarki dari atas ke bawah atau dari luar ke dalam. Konfigurasi atau penentuan ciri reka bentuk di luar atau di atas menentukan juga konfigurasi dan keadaan di dalam atau di bawahnya berasaskan kepada konsep kesetaraan ini. Penentuan konfigurasi atau nilai pemboleh ubah reka bentuk di setiap tahap dibantu oleh petua, aturan dan heuristik bagi reka bentuk ulangan dan ilham bagi reka bentuk baru (Wan Ramli 2002). Penentuan setiap tahap saling lengkap melengkapi penentuan pada tahap lain. Penentuan pembolehubah reka bentuk pada tahap di atas atau di luar itu amat mudah dan sedikit akan tetapi penentuan pembolehubah reka bentuk menjadi semakin sukar dan lebih banyak pada tahap yang lebih bawah atau lebih dalam. Cara ini mengelak penentuan terlalu banyak pembolehubah reka bentuk serentak dalam kaedah lazim.

Manfaat kepada orang ramai dan praktikal
Reka cipta artifak Al-Jazari praktikal dan bermanfaat kepada orang ramai (Al-Jami’ Bayn al-‘Ilm wa al-‘Amal al-Nafi’ fi Sina’at al-Hiyal). Oleh yang demikian reka cipta yang tidak bermanfaat kepada orang ramai dan tidak praktikal tidak digalakkan Pemerihalan yang terperinci tentang reka cipta, pembinaan dan pengendalian artifak reka cipta oleh al-Jazari menunjukkan betapa pentingnya reka cipta itu boleh dibina dan dikendalikan secara praktikal. Kebanyakan reka cipta artifak di dalam karya al-Jazari menunjukkan juga kegunaannya yang praktikal bagi manfaat orang ramai seperti mesin pengangkut air, jam air dan pam air. Reka cipta masjid Mi’mar Sinan memberi manfaat kepada ramai orang Islam menunaikan solat fardu berjemaah di dalamnya hingga ke hari ini.

Kawalan
Satu prinsip penting reka cipta artifak kejuruteraan dalam peradaban Islam ialah kawalan pengendalian kendiri. Berbagai-bagai ciptaan al-Jazari dan Banu Musa merupakan automaton yang dikawal supaya artifak itu boleh berjalan sendiri bagi tempoh masa yang panjang. Automaton al-Jazari merupakan robot awal dalam sejarah sibernetik. Kecenderungan al-Jazari kepada kawalan telah mendorong beliau merekacipta suatu sitem kawalan suap balik pertama dalam jam air.

Keseimbangan dengan Alam Sekitar dan Sistem Ekologi
Mengikut kefahamanan Islam terhadap alam sekitar dan sistem ekologi, sebarang reka cipta hendaklah tidak menyebabkan kerosakan alam sekitar dan sistem ekologi (fasad fil-ard) dan harus seimbang dengan kedua-duanya. Pembaziran merupakan perbuatan yang tidak disukai Allah (al-A’raf 7:31, al-Isra 17:26) dan pemboros adalah rakan syaitan (al-Israa 17:27). Pembuangan bahan buangan dan berbahaya ke dalam alam sekitar oleh artifak reka cipta akan menjejaskan atau membunuh sebahagian umat makhluk di dalam ekosistem dan merupakan kerosakan di bumi (fasad fil ard) yang dimurkai Allah (al-Rum 30:41). Kecekapan tenaga juga berkait dengan penggunaan bahan api yang tidak membazir. Pada umumnya kimia hijau itu amat serasi dengan fahaman Islam tentang pembaziran sumber bahan dan tenaga dan perosakan ekosistem