KOTA
BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menghadiahkan pakej umrah kepada pemain dan
pegawai pasukan The Red Warriors (TRW) di atas kejayaan meraih kejuaraan treble
pertama pada musim ini.
Ganjaran
tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ketua
Pasukan TRW, Mohd Badhri Radzi pada majlis ‘Jamuan Rakyat dan Iftar Perdana
Bersama Tok Guru’ di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin. Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah
Mahmood berkata, beliau sedang membuat pertimbangan lain untuk memberikan
sedikit imbuhan dalam bentuk wang tunai kepada pasukan TRW. “Kali
pertama dahulu kita tak beri (wang tunai). Insya-Allah kita akan usahakan
sedikit ganjaran sebagai duit poket ketika mereka berada di Tanah Suci Makkah
dan Madinah nanti. “Kita
serahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menetapkan tarikh
sesuai bagi membolehkan kesemua pemain dan pegawai pasukan menunaikan umrah itu
pada tahun depan.
Menurut
Abdul Fattah, pemain dan pegawai pasukan bukan beragama Islam yang tidak
menyertai rombongan tersebut tetap mendapat ganjaran setara dengan nilai pakej
umrah tersebut. Beliau
berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut. Hadir sama
ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Ibrahim, Timbalan Presiden
Kafa, Datuk Afandi Hamzah, Setiausaha Agung, Azman Ibrahim serta barisan
jurulatih dan pemain bola sepak Kelantan.
Kerajaan
Negeri pernah menghadiahkan pakej umrah kepada pemain dan pegawai bola sepak
Kelantan pada tahun 2009, setelah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia meski
pun hanya bergelar naib juara apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan.
Mengulas
mengenai program jamuan rakyat tersebut, Abdul Fattah berkata, ia merupakan
satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penyokong setia bola sepak
yang memberikan sokongan di atas kejayaan Kelantan meraih treble pada musim
ini.
Dalam
perkembangan lain, Abdul Fattah tidak menolak untuk memberikan ganjaran kepada
pasukan ragbi Kelantan yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Agong buat
kali ketiga berturut-turut minggu lalu.
“Saya
akan bawa perkara ini dalam mesyuarat exco, Rabu ini. Insya-Allah kita akan
umumkan mengenainya. Daripada awal tahun saya menunggu kertas kerja daripada
Persatuan Ragbi Negeri Kelantan (PRNK) namun kerana masalah tertentu mereka
hanya datang bertemu pada saat akhir,” katanya.