PEMAIN skuad bawah 23 tahun Australia,
Dimitrios Pertratos dan penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali antara yang
disebut-sebut bakal disunting oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi
memperkuatkan pasukan Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim
depan.
Sumber Kafa memberitahu, penyerang
Pelita Jaya FC yang sedang beraksi bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan
Piala AFF Suzuki 2012 dikatakan berada dalam perhatian meskipun tiada
pengesahan rasmi diberikan oleh pihak terbabit setakat ini.
Menurut sumber itu lagi, Pertratos pula
hampir pasti menjadi pilihan Kafa bagi menyarung jersi The Red Warriors secara
pinjaman untuk tempoh enam bulan setelah kontrak Mohammad Ghaddar tidak
disambung pada musim depan.
“Dimitrios Pertratos merupakan pemain
Sydney FC yang berpengkalan di New South Wales, Australia. Dia masih muda (20
tahun), mempunyai ketinggian 1.76 meter dan boleh beraksi di posisi serangan
dan pemain tengah menyerang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
“Kita dapatkan khidmat beliau atas dasar
pinjaman bagi tempoh tersebut. Keputusan mengikat Pertratos dilakukan sebagai
usaha memperkuatkan pasukan Kelantan bagi mempertahankan ketiga-tiga piala
dimenangi selain menghadapi Kejohanan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
bermula Mac nanti.
Sebuah portal sukan, Australian FourFour
Two pada 23 November lalu melaporkan juara treble dari Malaysia, Kelantan
dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Pertratos terutamanya bagi
mengharungi saingan baharu kempen Piala AFC nanti.
Malah, ejen Pertratos, James Hardy dalam
artikel tersebut menyifatkan tawaran dikemukakan Kelantan sangat menarik dan
memberi peluang kepada pemain muda itu mengembangkan kerjayanya setelah jarang
diberi peluang beraksi bersama kelabnya sebelum ini.
Ini diperkukuhkan lagi apabila Presiden
Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dipetik daripada laman sosialnya semalam
memberitahu, Kelantan sah akan mengikat kontrak dengan seorang pemain yang
beraksi dengan sebuah kelab dalam Liga Juara-Juara Asia.
“Dia akan menggantikan Mohammad Ghaddar.
Kita terpaksa melupakan Ghaddar yang menuntut kenaikan gaji 100 peratus. Saya
tak mampu, lagi pun prestasinya juga tak konsisten,” katanya.
Annuar juga memberitahu, pihak Kafa akan
mengadakan satu majlis memperkenalkan pemain baru mereka iaitu Zairo Annuar
Zailani, Mohd Faiz Subri dan seorang lagi pemain tempatan di Kota Bharu, hari
ini.
Selain Pertratos, Kafa juga difahamkan
turut memperkenalkan bekas penyerang T-Team dan Johor FC, Mohd Haris Safwan
Mohd Kamal dan seorang lagi pemain import dari Croatia pada majlis tersebut.