Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan
Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap
sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul
al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan
Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas
ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka
ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius
memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat
yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat,
muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan
dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang
mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu
perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain
perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor
pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat
seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran
ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk
dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan
pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqanbererti
yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula
diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail
ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan
(sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan
Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
-Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu
istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya
berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari
1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya
al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama
lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW
di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada
Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada
seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun
yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan
satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4
orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka
sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan
perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW
menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan
mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah
ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah
SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul
qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan
Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh
dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah
seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak
terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah
‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan
Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad
beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita
akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di
dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan
yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan
merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan
lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan
penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia
ini.
Manakala
penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di
mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah
mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini
menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang
paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui
umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah
kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat
Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam
akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah
yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna
kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir
Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan
kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun.
Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita
dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar,
maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang
tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada
itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu
pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga
ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa
baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya
mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda
menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari
keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam
Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam
lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa
berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya
setiap
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul
al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita
seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan
untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah
memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan
teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita
panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan
mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan
penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan
umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan
penghinaan.