BOLA SEPAK : 05 Pengadil


Kuasa Pengadil

Setiap perlawanan dikawal oleh seorang Pengadil yang berkuasa penuh untuk menguatkuasa Undang-undang Permainan berkaitan dengan perlawanan yang dia ditugaskan.


Kuasa dan Tugas

Pengadil:
• menguatkuasakan Undang-undang Permainan

• mengawal perlawanan dengan kerjasama Penolong-penolong Pengadil dan di mana berkaitan dengan Pegawai Keempat.

• memastikan mana-mana bola yang digunakan memenuhi syarat-syarat Undang-undang 2.

• memastikan peralatan pemain memenuhi syarat-syarat Undang-undang 4.

• bertindak sebagai penjaga masa dan membuat catatan perlawanan.

• mempunyai budi bicara untuk memberhenti, menangguh atau menamatkan perlawanan untuk sebarang pelanggaran Undang-undang.

• memberhenti, menangguh atau menamatkan perlawanan kerana sebarang bentuk gangguan luar.

• berhentikan perlawanan jika pada pendapatnya, seseorang pemain cedera parah dan pastikan ianya dikeluarkan dari padang permainan.


• meneruskan permainan sehingga bola di luar permainan, jika pada pendapatnya seorang pemain itu hanya cedera ringan.

• memastikan pemain yang luka berdarah dikeluarkan dari padang permainan. Pemain tersebut hanya boleh kembali, setelah menerima isyarat dari Pengadil yang mesti berpuas hati bahawa pendarahan itu telah berhenti.

• meneruskan permainan apabila pasukan yang mana kesalahan dilakukan ke atasnya akan memperolehi advantej dari situasi itu dan hukumkan kesalahan yang asal jika advantej yang dijangkakan tidak diperolehi pada masa itu.

• menghukum kesalahan yang lebih berat apabila pemain melakukan lebih dari satu kesalahan pada masa yang sama.

• mengambil tindakan disiplin ke atas pemain kerana kesalahan beramaran dan perintah keluar. Dia tidak perlu mengambil tindakan ini serta merta tetapi mesti berbuat demikian sebaik saja bola di luar permainan.

• mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai pasukan yang berkelakuan tidak bertanggungjawab dan mengikut budi bicaranya, menyingkirkan mereka dari padang permainan dan kawasan sekitarnya.

• bertindak atas nasihat Penolong-penolong Pengadil terhadap insiden yang tidak dilihatnya.

• jangan membenarkan orang yang tidak berkenaan masuk ke padang permainan.

• mulakan semula permainan setelah ianya diberhentikan.

• mengemukakan kepada pihak berkuasa yang berkenaan laporan perlawanan yang mengandungi maklumat tentang tindakan disiplin diambil ke atas pemain, dan/atau pegawai pasukan dan insiden lain yang berlaku sebelum, semasa atau selepas perlawanan.


Keputusan Pengadil

Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Pengadil tentang fakta yang berkaitan dengan permainan adalah muktamad.

Pengadil hanya boleh menukar sesuatu keputusan apabila menyedari kesilapannya atau, mengikut budi bicaranya, di atas nasihat Penolong-penolong Pengadil dengan syarat permainan belum dimulakan semula atau menamatkan perlawanan itu.


Keputusan-keputusan Lembaga P.B. Antarabangsa

Keputusan 1
Seorang Pengadil (atau jika berkaitan, Penolong Pengadil atau Pegawai Keempat) tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana:
sebarang kecederaan ke atas seseorang pemain, pegawai atau penonton
sebarang kerosakan ke atas harta benda
sebarang kerugian yang dialami oleh individu, kelab, syarikat, persatuan atau badan serupa, kerana atau mungkin kerana keputusan yang dibuatnya berkaitan dengan Undang-undang Permainan atau mengikut prosedur biasa yang dikehendaki dijalankan, dimainkan atau bagi pengawalan sesuatu perlawanan.

Keputusan ini meliputi:
• keputusan tentang keadaan padang permainan, kawasan sekitarnya atau keadaan cuaca yang boleh atau tidak membolehkan sesuatu perlawanan itu dijalankan.

• keputusan untuk membatalkan sesuatu perlawanan dengan apa jua sebab.

• keputusan berkaitan keadaan kelengkapan atau alat-alat yang digunakan semasa perlawanan termasuk tiang-tiang gol, palang gol, tiang penjuru atau juga bola.

• keputusan untuk memberhentikan atau tidak memberhentikan permainan kerana gangguan penonton atau sebarang masalah di dalam kawasan penonton.

• keputusan untuk memberhentikan atau tidak memberhentikan permainan untuk
membenarkan pemain cedera dikeluarkan dari padang permainan untuk rawatan.

• keputusan untuk memohon atau menggesa supaya pemain yang cedera dikeluarkan dari padang permainan untuk rawatan.

• keputusan untuk membenarkan atau tidak membenarkan seorang pemain memakai kelengkapan atau alat tertentu

• keputusan (selagi itu menjadi tanggungjawabnya) untuk membenarkan atau tidak membenarkan sesiapa jua (termasuk pasukan atau pegawai-pegawai stadium, pegawai-pegawai keselamatan, juru-juru gambar atau wakil-wakil media) hadir di persekitaran kawasan padang permainan.

• sebarang keputusan lain yang akan dibuatnya mengikut Undang-undang Permainan atau dalam menjalankan tugasnya untuk mematuhi syarat-syarat FIFA, Konfederasi Persatuan Kebangsaan atau Liga atau Peraturan-peraturan di bawah mana perlawanan itu dimainkan.

Keputusan 2
Untuk kejohanan atau pertandingan di mana seorang Pegawai Keempat dilantik, peranan dan tugasnya mestilah mematuhi garis panduan yang diluluskan oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa, yang terkandung di dalam publikasi ini.