Kemudan Yang Memudaratkan


Facebook, Blog, Handphone 3g, dan seumpamanya adalah bentuk-bentuk kemudahan yang dihasilkan oleh manusia untuk mengindahkan dan memudahkan lagi kehidupan seharian kita di abad ini. Banyak perkara menjadi pantas dan segera dengan adanya pelbagai gadjet yang ada di pasaran.
Walaupun kedudukan seorang berada di selatan, beribu batu jaraknya dan seorang laginya berada di utara, dengan kecanggihan yang ada kedua-duanya dapat berhubung dengan mudah tanpa perlu bersusah payah menempah tiket untuk sebuah pertemuan. Murah dan cepat! 

Alhamdulillah, pada mereka yang memilihnya sebagai ruang berdakwah kepada manusia lain, meluaskan hubungan dan jaringan (network), merapatkan ukhwah yang jauh dan berkasih sayang sesama manusia. Namun , adalah amat mengecewakan apabila kecanggihan teknologi ini lebih menjadikan penggunanya banyak membuang masa, chatting yang tiada hadnya dengan isi perbincangan yang lebih ke arah 'merapuh' dan sia-sia. Hanya 'borak kosong' sebagai kesimpulan dan point ceritanya. Hal ini, sebenarnya  meragut nilai-nilai murni dan kesedaran sivik pengguna yang mejotirinya banyak berlaku di kalangan anak-anak muda. 
Di sebalik kebaikan padanya juga ada keburukan. Semuanya terletak pada diri pengguna itu sendiri sejauh mana ianya digunakan. Teknologi ini adakalanya membunuh fitrah manusia, kerana semakin ianya mudah untuk menghubungkan seseorang dengan seseorang yang lain, maka semakin besarlah cabaran yang tersedia. 

Dengan kemudahan komunikasi yang semakin meluas, ianya juga seakan memberi ruang kepada 'syaitan' untuk menyelinap di hati, membakar-bakar emosi dan nafsu yang pada mereka yang suka mencuba. Daripada cubaan 'berkenal-kenalan' sehinggalah cubaan ke fasa yang lebih menyeronokkan. Pada mulanya 'bersendirian' dan apabila adanya 'pertemuan' demi 'pertemuan', maka tidak mustahil akan ada pula adengan yang mungkin sahaja lebih 'berani' dilakukan.

Lihat dialog pelajar perempuan yang membungakan hawa nafsu kepada pasangannya tatkala usia belum mencecah 12 tahun.
" I sayang Bb"
" Rindu sangat Mmmmmmuah".
" I lap U & miss u So Much"

Bagi yang mempunyai laman sosial facebook, dialog dialog ini tidak berhenti di sini. Dihiasi dengan pameran kemesraan yang diterjemahkan dalam gambar intim berdua sebagai tanda kesaksian percintaan mereka untuk dikongsi bersama dengan kenalan-kenalan facebook yang ada. Laman sosial yang sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang baik dan perkongsian ilmu lebih digunakan sebagai 'mewarwarkan' kemesraan dan keintiman bagi pasangan belum ada apa-apa ikatan menghalalkannya.
Selain itu, ada juga yang menjadi model-model yang tidak dibayar oleh mana-mana syarikatmodeling . Menjadi model pada photographer tidak bertauliah dengan memberikan aksi-aksi istimewa untuk paparan umum. Pelbagai gaya manja, cantik, senyuman menggoda dari pelbagai sudut di paparkan tanpa batasan di uploadkan tanpa sekelumit perasaan sedangkan ianya hanyalah merugikan diri sendiri dan menjadi asbab bertambahnya dosa dan noda mazmumah dalam diri. Rasanya kalau ditonton pada keluarga mesti ada yang mengucap panjang.

Umumnya,  aurat itu di dalam bahasa arab membawa maksud  'aib' atau 'malu' iaitu lebih merujuk kepasa sesuatu yang memalukan. Sesuatu yang 'aib' fitrahnya melibatkan perkara-perkara yang membawa maksud kepada 'kekurangan', 'kelemahan' dan sesuatu perkara yang boleh 'memalukan' seseorang.
Maka, memperlihatkan 'aurat' di kalayak ramai walaupun secara maya samalah seolah-olah dengan rela hati memperlihatkan ' kelemahan' dan 'kekurangan' diri sendiri yang mana ianya boleh memalukan diri sendiri. Walaupun, adakalanya dengan sepuluh orang yang memuji/ likegaya gedik mereka, membuatkan mereka terasa di awang-awangan, namun tanpa mereka sedari seribu orang malah lebih pula yang merasa geli dan jijik dengan tingkah mereka. 

Semua ini tidak mungkin terjadi jika iman mendahului emosi. Ya, tanpa pengawasan ibu bapa juga , kalian sewenang-wenangnya menekan keyboard tanpa berfikir akan membawa imej keluarga dan agama bersama. Namun segala-galanya bermula dari hati sendiri. Hati yang bersih akan menterjemahkan perilaku yang bersih. Demikianlah dinding-dinding facebook yang ada sebagai 'petunjuk' kepada diri seseorang itu. Andai imannya mendahului emosi, sudah pastilah dinding-dinding (wall) itu dipenuhi dengan perkongsian yang bermanfaat.
Rasulullah SAW bersabda;
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain "
(Hadis Riwayat Ahmad,Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)
Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan kemudahan yang ada. Manfaatkanlah kebaikan di ruang maya supaya dapat memberikan kebaikan berterusan pada diri kita dan kepada orang yang membacanya. Hiasilah akhlak  dengan perasaan malu untuk memelihara tingkah laku mahupun aurat kerana hanya orang tertentu sahaja layak melihatnya.

Firman Allah yang berbunyi;
"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..."
(Surah an-Nur ayat 31)

Ayuh! Sama-sama kita manfaatkan kemudahan ke arah yang lebih baik demi maruah agama dan keluarga, ke arah menjadi mukmin yang berjaya! Ketika azan berkumandang, tinggalkanlah dahulu 'kemudahan-kemudahan' dunia yang mengasyikkan kerana ianya hanyalah bersifat sementara.
Jangan hanya kemudahan itu dapat memberikan kemudahan untuk kita di dunia sahaja, tetapi 'menyusahkan' diri kita apabila berada di alam yang lebih abadi nanti asbab diri kita sendiri yang 'kurang bijak' menggunakannya. 

"Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu' mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya"
(Surah al-Mukminun ayat 1-3)