Akal
adalah kurniaan Allah kepada makhluk yang bernama manusia. Melalui akal
manusia dapat menganalisis dan seterusnya mengenali kebesaran penciptanya
yang telah membekalkan akal dan pemikiran untuk meredah kehidupan. Segala sesuatu penciptaan akan menunjukkan
kepada kebijaksanaan dan kebesaran Tuhan Yang Maha Pencipta. Inilah sikap orang herakal. Mereka akan
sentiasa memikirkan tentang segala apa yang diciptakan Allah sama ada di langit
mahupun di bumi untuk melihat kebesaran Allah. Orang yang beriman akan
menundukkan pandangan akalnya untuk sujud kepada kebesaran dan mengagungkan
pujian hanya kepada Allah pemilik dan pencipta akal yang boleh berfikir.
Firman
Allah dalam surah Ali Imran melalui ayat 189 hingga 191 ini menceritakan sikap
orang berakal. "Dan bagi Allah
jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan Allah Maha kuasa atas tiap -
tiap sesuatu. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam
dan Siang, ada tanda tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah)
bagi orang orang yang berakal. Iaitu orang - orang yang menyebut dan
mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,dan
mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata ): "Wahai
Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda benda ini dengan sia sia, Maha
Suci Engkcau, maka peliharalah kami dari azab neraka"
Antara
bukti dan petunjuk kepada kebesaran Allah adalah melalui penciptaan cap jari
manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia akan membawa bersamanya
identiti yang tersendiri dan berbeza antara satu dengan yang lain. Manusia
seperti makhluk hidup yang lain turut memiliki beberapa rangkaian kromosom yang
tersimpan kukuh dalam bentuk genetik dan baka pewarisan. Walaupun generasi
demi generasi silih berganti dan turun - temurun dilahirkan dari sepasang
suami isteri namun cap jari manusia tetap memiliki banyak misteri dan
seribu satu keunikan yang sukar ditafsirkan oleh ilmu sains dan teknologi.
Melainkan ianya adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Tuhan yang Maha Pencipta.
Manakala
dalam masyarakat Melayu yang sinonim dengan penghayatan Islam pula
mengembalikan rahsia jari dan cap jari adalah milik Allah pencipta manusia.
Namun sekiranya kita perhatikan jaluran urat di tapak tangan kanan akan
tertera nombor Arab 18 dan tapak tangan di bahagian kiri pula akan tercatat
nombor 81. jika seorang hamba Allah berdoa maka kedua-dua tapak tangan ini
akan dicantumkan dan cantuman ini akan menjadikan angka. 99. Nombor 99 ini
boleh diertikan dengan 99 nama Allah yang Maha Agung lagi Maha Mulia.
Nabi
Muhammad s.a.w. pernah memberitahu para sahabat dan umat Islam bahawa Allah
memiliki 99 nama yang indah dan diberkati maka berdoalah kepada Allah melalui
sifat-Nya yang agung dan terpuji. Hakikatnya
jari dan cap jari merupakan tanda di antara tanda kekuasaan Allah.
Kondisi
dan struktur jaringan halus urat timbul yang kompleks ini telah menyebabkan
proses sains dan teknologi makin berkembang pesat untuk mengkaji serta
menyelidik demi menambah baik kesenangan dan keselesaan hidup manusia pada masa
mendatang. Walaupun situasi jenayah makin bertukar dan berkembang pesat selari
dengan kepesatan teknologi namun adalah sesuatu yang mustahil di alam ini
bagi menghilangkan dan melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan
manusia ada hikmah yang tersirat dan tersimpul di sebalik kejadiannya.
Tanda Kekuasaan Allah SWT
Menurut
kefahaman dalam agama Islam semua bani manusia akan dihidupkan dan
dibangkitkan semula pada hari pembalasan. Apabila seseorang manusia itu mati
dan telah dikuburkan maka tubuh serta jasad manusia akan mereput dimamah
cacing dan ulat sehingga yang tinggal hanyalah tulang - belulang yang
berserakan. Namun menurut janji Allah manusia akan tetap dihidupkan dan
dibangkitkan semula dalam rupa bentuk fizikal seperti kehidupan di dunia. Allah
SWT telah berjanji bahawa pada Hari Kiamat kelak Allah SWT akan mengumpulkan
kembali segala tulang - belulang biarpun dari mana sahaja ia berada walaupun
tulang - belulang tersebut telah menjadi atom atom, zarah, abu mahupun
debu - debu yang halus. Seorang sahabat
nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Adwi Ibnu Abi Rabiah telah bertanya ‘Adakah
selepas kematian ini ada kebangkitan semula? Dan bagaimanakah Allah SWT akan
mengumpulkan tulang belulang selepas ianya sudah bertukar menjadi habuk? Maka Allah SWT telah berfirman melalui
maksud ayat Surah Al - Qiyamah ayat 4 di bawah yang bermaksud : "Bukan sebagaimana yang disangka itu,
bahkan kami berkuasa menyusun dengan sempurnanya segala tulang -
tulang jarinya, dan tulang yang lebih halus dari yang lain".