Anda
inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda
berada?
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau
tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah
Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah
SWT
"Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman."
Iman
dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor
utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan
melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu
orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."
Lakukan
satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke
sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan
orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang
tidak berguna)."
Kebiasaannya
dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk
berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang
di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa
rehat yang telah kita peruntukkan.
Sebaik-baiknya
kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita
dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok
baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan
bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun,
sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan
solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan
Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha
kita mengulangkaji pelajaran.
Kita
dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat
pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah
kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang
bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin sesama kita
"dan
orang-orang yang menunaikan zakat."
Walaupun
sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu
mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling
kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun
lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan
orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri
mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal
ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang
yang melampaui batas."
Janganlah
kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara
lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang
ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan
kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal
Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita
mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
"
dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."
Bukankah
kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar
bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan
Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang
telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu,
pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan
menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti
menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya
sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa
billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan
orang-orang yang memelihara solatnya."
Konsep
yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah
supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak
berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum
ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan,
kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan
seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga
mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan
jalan.
Namun
janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik
semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan
kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal
kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan
ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut
peluang mewarisi syurga-Nya.