Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui
umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan
ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari
seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh
beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam
sebuah hadith :-
Ertinya : "Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih)
bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana
baginda di malam-malam yang lain" (Riwayat Muslim, no 1175)
Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه
كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya
dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" (
Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله
عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir
bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan
mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan
ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya
Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi
menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah
SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun
ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas
dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai
lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting
bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak
banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda
itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi
tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara
barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim
bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam
al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang
berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para
ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam
ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها
في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di
sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan
pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang
berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut
kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama.
Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan
termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada
setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk
Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap
tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith
al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu
samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى
رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah
menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di
tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan
adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara
Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam,
sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam
ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat
tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan
zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-