Monsun
Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun
iaitu Monsun Barat Daya dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur
Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat
terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat
Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering.
Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan
monsun.
Apakah Monsun?
Perkataan "monsun" berasal daripada
perkataan Arab "muasim" yang bermaksud musim. Pedagang-pedagang kuno
yang berulang-alik melalui Lautan India dan Laut Arab menggunakan perkataan ini
bagi menjelaskan sistem angin yang silih berganti yang bertiup mantap dari arah
timur laut semasa musim sejuk di hemisfera utara dan dari arah berlawanan iaitu
angin barat daya semasa musim panas di hemisfera utara.
Apakah yang Menyebabkan Monsun?
Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di
antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari. Semasa
musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan
suhu yang amat rendah di Asia Tengah. Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera
meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di
Siberia. Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin
barat-laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur-laut apabila tiba di
perairan pantai China sebelum menuju Asia Tenggara.
Dari masa ke semasa, ledakan keluar udara sejuk yang
kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah atau
siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan
laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur
Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.




