Beliau
bukannya ulama yang tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya
bernama abu Hamid al-Ghazali (men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu
kalam dan ahli fiqh yang terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan
bagi orang muda yang berhemah tinggi itu.
Semenjak
awal lagi beliau terdedah kepada pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf,
ayahandanya seorang yang beramal dengan amalan tasawwuf yang sangat warak,
mengikut laporan al-Subki, sehingga dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha
tangannya sendiri, dan beliau selalu bersama dengan mereka yang alim.
Imam
Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh sufi yang menjadi sahabat ayahandanya,
bersekali dengan saudaranya Ahmad. Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali
mempelajari ilmu kalam dan fiqh, mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya
dengan Shaikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi
melanjutkan pengajiannya di Jurjan di bawah didikan Imam abu Nasr al-Isma’ili.
Ibn
‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali mengambil ilmu tentang hadith
al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi, dan antara
syaikh-syaikhnya yang lain dalam ilmu hadith ialah Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad
al-Hakimi al-Tusi, ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad
ibn Yahya ibn Muhammad ibn Suja’i al-Zawzani dan seterusnya.
Sewaktu
dalam perjalanan pulang dari Jurjan ada kisah yang menarik tentang Imam ini
yang berkisar bagaimana beliau dirompak. Bila para perompak itu
meninggalkannya, beliau mengikuti mereka, tetapi beliau diberi amaran agar
tidak mengikuti mereka itu kalau tidak beliau akan mati. Lalu beliau meminta
dengan nama Allah supaya dikembali kertas-kertas yang mengandungi
catitan-catitan pelajarannya kerana kertas itu tidak ada gunanya untuk mereka.
Bila ditanya tentang kertas apa yang ada dalam beg itu beliau menjawab bahawa
itu mengandungi catitan-catitan ilmunya yang didengarinya yang kerananya beliau
jauh mengembara. Perompak itu ketawa dan bertanya “bagaimana kamu memperolehi
ilmu mereka bila kami ambil kertas itu maka kamu tidak berilmu lagi”. Ini suatu
yang aneh berlaku. Bagaimanapun catitan-catitannya diserahkan kembali. Apabila
beliau kembali ke Tus lepas itu, imam al-Ghazali mengambil masa tiga tahun
menghafal semua catitan-catitan yang dipelajarinya itu.


