Persediaan Menyambut Kedangan Ramdhan

Sabda Rasulullah s.a.w:
((كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ))

(( Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperoleh apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang qiam (solat malam) tetapi ia tidak memperoleh apa-apa melainkan berjaga sahaja)). Riwayat Imam Ahmad

Hadis di atas membayangkan bahawa pada bulan Ramadan terdapat juga golongan yang berpuasa namun mereka tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala kerana mereka berpuasa dalam keadaan jahil atau ketika berpuasa mereka turut melanggar syariat Allah Taala. Justeru bagi memastikan ibadah puasa Ramadan tidak dilalui dengan sia-sia sewajarnyalah kita berusaha membuat persediaan rapi demi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan oleh Allah Taala sepanjang Ramadan.

Berikut adalah beberapa persiapan yang boleh dibuat oleh seorang muslim bagi menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna:

1) Persiapan Diri:

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan semestinyalah menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. Juga hendaklah mengetahui amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Kita juga hendaklah mengetahui bahawa ketika Ramadhan kita bukan sahaja dituntut menahan lapar dan dahaga tetapi hendaklah juga memelihara aurat, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kelab malam, tidak bersentuhan dengan bukan muhrim, tidak membeli tiket loteri dan berjudi, tidak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia seperti menonton tv dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan tidak terlibat dengan mengumpat dan menfitnah orang lain.

Seorang muslim yang akan menempuh bulan Ramadhan sewajarnya menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

Cara yang terbaik untuk meningkat ilmu dan kefahaman berkaitan puasa khususnya ialah dengan menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadhan dan ibadah puasa.

Bagi memastikan amalan harian kita lebih teratur dan tersusun sepanjang Ramadhan, kita bolehlah menyusun satu jadual ringkas seperti berikut:

Lima Kelebihan Ramadhan


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."

4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.

5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.  Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."

(Riwayat Imam Ahmad)